Friday, February 13, 2009

Anak menggigil lapar'

Hmetro 14 februari 2009

JITRA: “Anak-anak saya menggigil menahan kelaparan kerana tidak makan beberapa hari.


“Saya hanya mampu memberikan mereka minum air masak saja,” kata Azmi Abdullah, 51, menceritakan kesempitan hidupnya sekeluarga.

Difahamkan kehidupan keluarga yang tinggal di Kampung Kuala Kerpan, dekat sini, hanya bergantung kepada ihsan penduduk kampung yang prihatin selain mengambil upah membantu jiran.

Azmi berkata, sejak terbabit dalam kemalangan jalan raya lima tahun lalu dia tidak mampu melakukan kerja berat.

Namun, akibat kesempitan hidup dia terpaksa bertungkus-lumus bekerja biarpun dinasihatkan doktor supaya tidak melakukan kerja berat.

“Saya mengambil upah membersihkan rumah, menebas semak, membuat rumah dan sebagainya mengikut permintaan penduduk bagi mendapatkan sedikit wang.

“Saya juga tidak menetapkan harga kepada kerja yang dilakukan sebaliknya menerima apa saja pemberian penduduk.

“Manakala isteri (Mahani Mansor, 50) turut membantu saya dengan mengambil upah mengupas bawang di rumah jiran.

“Purata pendapatan kami berdua hanyalah RM20 sehari. Itupun jika ada penduduk yang memanggil saya atau isteri untuk melakukan kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu, tetapi sehingga kini permohonannya masih belum diluluskan.

“Apapun saya masih bersyukur kerana mampu menghantar ketiga-tiga anak saya ke sekolah dengan bantuan orang ramai. Jika diikutkan hati, saya sudah malu hidup dengan ihsan orang ramai sehinggakan pernah terlintas untuk menamatkan persekolahan mereka namun prestasi pelajaran mereka yang baik menghalang niat saya itu.

“Mana tidaknya, anak sulung saya, Nurhidayah Azmi, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini pernah mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala anak kedua, Mohd Firdaus Azmi, 14, sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan anak bongsu, Mohd Naim Azmi sedang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ayer Hitam.

“Jika saya tidak beri peluang kepada mereka, tindakan itu adalah tidak adil serta zalim,” katanya.

Azmi berkata, mereka sekeluarga berkemungkinan merempat pada bila-bila masa berikutan rumah yang menjadi tempat berteduh selama ini adalah milik sebuah syarikat di kawasan berhampiran.

“Jika pemilik tanah mengarahkan kami keluar, tiada apa dapat dilakukan. Saya berharap ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan sekurang-kurangnya untuk menyempurnakan persekolahan ketiga-tiga anak saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment