Friday, March 20, 2009

Sunday, March 15, 2009

MARA tawar nik nur madihah lanjut pelajaran ke london

Mara tawar Nik Nur Madihah lanjut pelajaran ke London

KUALA LUMPUR: Mara menawarkan pinjaman penuh secara automatik kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, pelajar cemerlang yang memperoleh 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk melanjutkan pelajaran peringkat A Level di London. Menteri
Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata Mara akan berikan tawaran secara automatik tanpa perlu melalui proses temuduga atau mengisi borang. "Kita berikan kes istimewa untuk adik ini dengan terus menghantar beliau ke luar negara untuk membuat A Level dahulu," katanya selepas melancarkan kempen satu keluarga satu syarikat/perniagaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

"Bagi pihak kementerian kita ucap tahniah. Saya sendiri dah bercakap dengan Nik Nur Madihah, dah cakap dengan ayah dia dan pagi tadi saya bercakap pula dengan guru yang mengajar pelajar ini. "Pelajar ini kita lihat datang dari keluarga yang miskin dan saya tengok pelajar ini cemerlang. Masa dia UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), dia mendapat 5A, PMR (Penilaian Menengah Rendah) 9A, dan SPM 20A," katanya. Nik Nur Madihah, anak seorang nelayan, adalah pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan, mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Jumaat lalu dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.

Beliau pernah menjadi antara pelajar terbaik PMR peringkat kebangsaan 2006 selepas mencatatkan keputusan 9A. Noh berkata, surat tawaran itu akan diserah kepada Nik Nur Madihah minggu depan. Beliau berkata, mengikut sistem yang digunakan Mara, seseorang pelajar itu perlu mengikuti kursus A Level di dalam negara terlebih dahulu sebelum
membolehkan mereka layak melanjutkan pelajaran ke luar negara. "Tetapi oleh kerana adik Madihah (ini) pintar, yang luar biasa (dan sudah) terbukti daripada dia kecil sampai besar, jadi dia mesti diberikan kelebihan. Sebab itu untuk adik Madihah saya bagi kelulusan khas untuk hantar terus ke London sebab dia kata dia minat nak belajar di United Kingdom.

"Kita akan usaha carikan dia tempat untuk buat A Level. Kita akan uruskan tempat dia belajar dan kita juga akan bagi pinjaman Mara untuk Madihah,"katanya. Noh berharap kejayaan Nik Nur Madihah itu akan menjadi contoh terbaik untuk adik-adiknya sekaligus membolehkan keluarga itu keluar dari kepompong kemiskinan. - Bernama

Nur Madihah terima penghargaan

dipetik dari utusan online 15/3/2009

KEPALA BATAS 14 Mac – Anak nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yang memperoleh keputusan 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


Pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan itu menerima penghargaan berkenaan sempena majlis pelancaran Hari Penternak, Petani dan Nelayan peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Penghargaan khas itu disampaikan sendiri oleh menteri berkenaan, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis tersebut yang turut dihadiri ibu bapa pelajar itu, Mariani Omar, 42 dan Nik Mohd. Kamal Husin, 41.

Selain sijil penghargaan, Nik Nur Madihah, 18, turut mendapat sumbangan cek RM4,000 iaitu masing-masing RM2,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanim).

Mustapa dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu berkata, pihaknya berharap kejayaan Nik Nur Madihah memberi inspirasi kepada anak-anak nelayan lain supaya mencatatkan pencapaian cemerlang dalam akademik.

“Saya dan rakan-rakan dalam kementerian cukup berbangga dengan apa yang dicapai adik Nik Nur Madihah (dalam SPM) dan beliau membuktikan bahawa anak nelayan juga boleh berjaya.

“Kita harap kejayaannya memberi inspirasi untuk kita semua dan tidak sesekali menjadikan kesusahan hidup sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Law Choo Kiang, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin.

Nik Nur Madihah mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Jumaat lalu dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.

Sementara itu, Mustapa berkata, golongan penternak, petani dan nelayan di negara ini sangat bertuah kerana mendapat pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan berbanding rakan-rakan mereka di negara lain.

“Saya sudah pergi banyak negara dan bertanya kepada petani, penternak atau nelayan. Kerajaan mereka tidak pernah memberi insentif yang begitu banyak kepada mereka.

“Tujuan kerajaan amat mudah. Dengan memberi bantuan, kita harap jumlah hasil dapat ditingkatkan untuk kegunaan rakyat dan pada masa sama memberi limpahan pendapatan kepada petani, penternak atau nelayan,” katanya.

Nur Madihah puasa sebab miskin

di petik dari utusan online 15/3/2009


Oleh AZRAN FITRI RAHIM

azran.rahim@utusan.com

KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.

“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”

Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.

Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.

Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.

“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.

“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.

“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.

Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.

Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.

“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya.

Saturday, March 14, 2009

INILAH RUMAH SAYA

dipetik dari utusan online 14/3/2009

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.


Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Thursday, March 12, 2009

Miskin tidak halang Madihah cemerlang

Pelajar dapat 20A ulang kaji awal pagi, solat tahajud


KOTA BHARU: Anak pasangan nelayan dan tukang sapu, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran apabila meraih pencapaian cemerlang 20A termasuk 1A2, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan semalam.

Nik Nur Madihah, 18, turut mencipta rekod sebagai pelajar terbaik Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini, apabila mendapat A1 bagi Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Islam; Sejarah, Matematik; Sains; Kesusasteraan Melayu; Geografi; Bahasa Arab Tinggi; Matematik Tambahan; Perdagangan; Prinsip Perakaunan; Ekonomi Asas; Fizik; Kimia dan Tasawwur Islam.

Beliau turut mendapat A1 dalam Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah; Pendidikan Syariah Islamiah dan English for Science dan Technology. Satu-satunya mata pelajaran yang beliau mendapat A2 ialah Biologi.

Nik Nur Madihah berkata, kejayaan cemerlangnya itu adalah hadiah kepada ibu bapanya, Nik Mohd Kamal Husin, 42, dan Mariani Omar, 40, yang sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan menuntut ilmu dalam usaha merubah kehidupan dan kemiskinan keluarga.

"Keluarga saya miskin, bapa hanya nelayan, ibu pula tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), namun mereka adalah kebanggaan saya kerana sentiasa memberi dorongan untuk mencipta kejayaan.

"Guru-guru di Maahad Muhammadi juga banyak membantu kerana mereka sentiasa memberi perhatian dan sedia memberi tunjuk ajar pada bila-bila masa kerana saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM dengan sasaran awal mahu memperoleh 18A.

"Saya mengulang kaji awal pagi setiap hari selepas bersolat tahajud dan membaca al-Quran yang menjadi amalan sejak di sekolah rendah lagi. Berikutan tidak mampu mengikuti kelas tambahan di luar kerana mahal, saya beri tumpuan sepenuhnya ketika dalam kelas," katanya.

Anak jati perkampungan nelayan, Kampung Parang Puting dekat Pantai Sabak itu, ditemui selepas menerima keputusan peperiksaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Mohd Amar Nik Abdullah, di sekolah terbabit, semalam.

Hadir sama Pengetua Maahad Muhammadi (P), Zainah Abdullah dan Pelajar Terbaik SPM 2006 dari sekolah itu, Siti Fatimah Mokhtar, yang mendapat 18A termasuk 1A2.

Nik Nur Madihah berkata, peluang mengikuti Seminar Skor SPM anjuran Berita Harian tahun lalu, banyak membantunya menghadapi peperiksaan selepas mendapat pendedahan kaedah terbaik menjawab soalan.

Beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Fizik di Asia Barat. berkata, keputusan dicapainya itu membuktikan kejayaan dalam pelajaran mampu dimiliki sesiapa saja yang mempunyai keazaman dan bukannya bergantung kepada latar belakang keluarga saja.

Kecemerlangan Nik Nur Madihah bermula sejak di sekolah rendah lagi apabila mendapat 5A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2006..

Sementara itu, Mariani berkata, sebagai ibu, beliau dan suaminya sentiasa mendoakan kejayaan untuk empat anak mereka dan menanam kesedaran terhadap kepentingan ilmu demi mengubah masa depan.

"Saya dan suami hanya berpendapatan antara RM500 dan RM600 sebulan dan memastikan anak tidak tercicir dalam persekolahan, kami terpaksa berjimat cermat membiayai persekolahan mereka," katanya.

bharian online 13/3/2009